MENURUT Islam, zaman remaja dikaitkan dengan istilah baligh dan apabila seseorang itu baligh, wajib ke atasnya melakukan segala hukum syarak dan meninggalkan perkara dilarang.
Biasanya tanda baligh bagi kanak-kanak lelaki apabila bermimpi, manakala perempuan apabila keluar haid. Semua tanda itu menunjukkan pertukaran zaman daripada kanak-kanak ke alam remaja. Tugas mendidik golongan yang baru masuk ke alam remaja ini adalah tanggungjawab ibu bapa, guru dan semua pihak. Mereka perlu dijelaskan mengenai hukum syarak berhubung kecenderungan naluri remaja, di samping andaian risiko sesuatu perkara ketika melarang atau menyuruh mereka melakukan sesuatu. Abd Al-Rahman Wasal memetik pendapat Imam Syafie menjelaskan, ibu bapa bukan saja perlu memberi penerangan selepas mereka baligh bahkan sebelum itu seperti kewajipan solat, puasa, termasuk batas pergaulan. Usia remaja dikaitkan sebagai peringkat paling mencabar di samping perubahan fizikal yang ada kala sukar difahami tanpa bimbingan orang dewasa.
Sesetengah ahli jiwa membahagikan zaman remaja kepada tiga. Pertama, peringkat sebelum remaja yang biasanya bermula dari umur 10 tahun dan berakhir pada umur 12 tahun. Kedua, peringkat awal remaja antara 13 hingga 16 tahun dan ketiga, peringkat akhir remaja antara 17 hingga 21 tahun.
Membentuk remaja cemerlang melalui pendidikan Islam, ibu bapa tidak boleh menunggu anak meniti tahap demi tahap kerana pembentukan jati diri bermula ketika mereka masih dalam rahim, difahami keadaan ibu yang mengandung mempengaruhi kandungan.
Ibu bapa dinasihatkan menjalani kehidupan berpandukan agama supaya menjadi contoh kepada anak kerana mereka guru pertama kepada anak serta bertanggungjawab terhadap pertumbuhan rohani dan jasmani anak.
Sabda Rasulullah SAW, diriwayatkan oleh Tirmizi yang bermaksud: Tidak ada lebih baik diberikan bapa kepada anaknya daripada adab yang elok.
Kehidupan berkeluarga mesti mengambil kira pengukuhan iman dalam diri melalui pendidikan rohani. Jiwa anak perlu diisi nilai murni supaya mereka mempunyai pegangan. Pada masa sama, ibu bapa perlu memahami jiwa anak supaya proses membimbing dilaksanakan secara berkesan.
Ibu bapa juga harus meluangkan masa berkualiti dan menjadi rakan baik kepada anak dengan memberi peluang mencurahkan masalah dihadapi. Cara ini membuatkan mereka tidak takut bercerita jika sesuatu perkara berlaku.
Peringkat akhir remaja menunjukkan kematangan dan wujud kepelbagaian pengalaman serta dapat membezakan baik atau buruk sesuatu perkara. Namun, pendidikan terhadap mereka tidak harus diketepikan kerana mereka suka membuat sesuatu yang dianggap dewasa dan menarik perhatian. Pada peringkat ini, ibu bapa adalah guru menunjukkan jalan kebaikan dunia dan akhirat.
Pendidikan pada peringkat akhir ini mesti dengan lemah lembut supaya jiwa anak tidak mudah tersentuh. Anak tidak boleh dimarahi atau ditengking yang menyebabkan mereka kasar serta hilang rasa hormat terhadap orang lain.
Kebebasan wajar diberi kepada remaja selagi tidak bertentangan ajaran Islam. Pendapat atau pandangan bernas mereka mesti diambil kira supaya mereka rasa dihargai serta diberi perhatian oleh orang lain. Ibadat diajarkan Islam mengandungi daya dan wasilah untuk mengasuh anak menjadi insan yang berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Remaja harus didedahkan mengenai tanggungjawab untuk melangkah ke alam kedewasaan.
0 comments:
Post a Comment