KUALA LUMPUR: Umat Islam diminta tidak terpengaruh dengan khabar angin mengatakan perayaan Aidilfitri disambut pada hari Khamis, sebaliknya menunggu pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam Rabu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, khabar angin itu disebar oleh pihak tertentu untuk mengaut keuntungan semata-mata. "Kita dengar (khabar angin) Raya jatuh pada Khamis... kalau jatuh pada hari Khamis maka tinggal dua hari lagi kita berpuasa dan ini seperti menjadi trend golongan tertentu (peniaga) untuk melariskan jualan mereka. "Kita jangan ikut rentak orang bisnes," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Dana Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Wilayah Persekutuan di sini, hari ini. Tarikh melihat anak bulan Syawal bagi menentukan Hari Raya Aidilfitri tahun ini ditetapkan pada hari Rabu, manakala Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab. Jamil Khir turut menasihatkan umat Islam supaya berjimat-cermat dalam membuat persiapan menyambut perayaan Aidilfitri. Pada majlis itu, seramai 70 orang terdiri daripada ibu tunggal dan anak-anak terabai berikutan bekas suami atau bapa gagal atau ingkar mematuhi perintah nakfah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah menerima nafkah pendahuluan berjumlah RM200,000. Wang itu hanya diberi kepada mereka yang memperoleh perintah Mahkamah Syariah. -Bernama
0 comments:
Post a Comment