Wednesday, September 8, 2010

Berpusing sebelum menjunam

 Sumber Metro online

KULAIJAYA: “Saya nampak pesawat itu berlegar-legar di sekitar ladang sawit dengan bunyi enjin terputus-putus. Selepas beberapa saat, enjin pesawat itu tiba-tiba senyap.

RENTUNG...mayat Dione dibawa ke bilik mayat Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim. 
“Selepas itu saya lihat pesawat itu menjunam dalam keadaan berpusing-pusing kira-kira 300 meter dari tempat saya berdiri,” kata Mohd Miswan Sukimin, 52, saksi pesawat Liberty 9MHKI terhempas di tengah ladang sawit di Kampung Seri Gunung Pulai di sini, pada jam 9.20 pagi semalam.

Menurutnya, ketika kejadian dia sibuk mengait sawit bersama beberapa rakan, namun sempat memerhati pergerakan pesawat berkenaan.

“Saya menyedari pesawat terbabit melintasi kawasan ladang kerana bunyinya yang kuat tapi hairan kerana enjinnya hidup dan mati beberapa kali.

“Bagaimanapun, selepas pesawat itu menjunam ke dalam ladang, saya dan rakan bergegas ke lokasi kejadian melihat keadaan mangsa.

“Sebaik tiba, kami dapati pesawat berkenaan terbakar dan seorang mangsa berada di luar manakala seorang lagi gagal diselamatkan,” katanya yang ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.
Mohd Miswan berkata, dia bersama rakan menyelamatkan mangsa dan membawanya ke pondok pengawal berdekatan dengan menaiki motosikal sebelum menghubungi talian kecemasan 999 untuk bantuan.

Pesawat ringan milik KL International Flying Academy (KL-IFA) Sdn Bhd yang berpangkalan di Senai, dekat sini, yang terhempas itu dipandu juruterbang pelatih, Dione Wong Yong Chin, 19, yang menjalani sesi ujian akhir untuk mendapatkan lesen juruterbang. Dia meninggal dunia dalam nahas berkenaan.
Mayat mangsa rentung tersepit di tempat duduknya sebelum dibawa keluar pasukan Bomba dan Penyelamat untuk dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulaijaya.

Turut menaiki pesawat bersama mangsa penguji daripada Jabatan Penerbangan Awam, Kapten Zaini Ramli mengendalikan ujian latihan penerbangan.

Dia yang parah dikejarkan ke hospital sama sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian, kira-kira jam 9.30 pagi.

“Berdasarkan maklumat awal, pesawat ringan terbabit berlepas daripada Lapangan Terbang Sultan Ismail (LTSI), Senai, pada jam 8.55 pagi dan berlegar-legar berdekatan tempat kejadian sebelum terhempas, kira-kira 25 minit kemudian.

“Sebaik tiba, kami dapati Kapten Zaini diselamatkan penduduk sekitar manakala juruterbang pelatih dipercayai memandu pesawat berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, pesawat ringan berkenaan terhempas kira-kira 10 kilometer (km) daripada LTSI ketika sesi ujian penerbangan akhir mangsa.

“Mayat mangsa dikeluarkan dalam tempoh kira-kira sejam sebelum dibawa ke hospital untuk dibedah siasat,” katanya.

0 comments:

Post a Comment