Showing posts with label Kaunseling Remaja. Show all posts
Showing posts with label Kaunseling Remaja. Show all posts

Wednesday, September 22, 2010

Remaja perlu didedah tanggungjawab jadi orang dewasa

Oleh Prof Madya Dr Ahmad Redzuwan Mohd Yunus

MENURUT Islam, zaman remaja dikaitkan dengan istilah baligh dan apabila seseorang itu baligh, wajib ke atasnya melakukan segala hukum syarak dan meninggalkan perkara dilarang.

Biasanya tanda baligh bagi kanak-kanak lelaki apabila bermimpi, manakala perempuan apabila keluar haid. Semua tanda itu menunjukkan pertukaran zaman daripada kanak-kanak ke alam remaja. Tugas mendidik golongan yang baru masuk ke alam remaja ini adalah tanggungjawab ibu bapa, guru dan semua pihak. Mereka perlu dijelaskan mengenai hukum syarak berhubung kecenderungan naluri remaja, di samping andaian risiko sesuatu perkara ketika melarang atau menyuruh mereka melakukan sesuatu. Abd Al-Rahman Wasal memetik pendapat Imam Syafie menjelaskan, ibu bapa bukan saja perlu memberi penerangan selepas mereka baligh bahkan sebelum itu seperti kewajipan solat, puasa, termasuk batas pergaulan. Usia remaja dikaitkan sebagai peringkat paling mencabar di samping perubahan fizikal yang ada kala sukar difahami tanpa bimbingan orang dewasa.

Sesetengah ahli jiwa membahagikan zaman remaja kepada tiga. Pertama, peringkat sebelum remaja yang biasanya bermula dari umur 10 tahun dan berakhir pada umur 12 tahun. Kedua, peringkat awal remaja antara 13 hingga 16 tahun dan ketiga, peringkat akhir remaja antara 17 hingga 21 tahun.

Membentuk remaja cemerlang melalui pendidikan Islam, ibu bapa tidak boleh menunggu anak meniti tahap demi tahap kerana pembentukan jati diri bermula ketika mereka masih dalam rahim, difahami keadaan ibu yang mengandung mempengaruhi kandungan.

Ibu bapa dinasihatkan menjalani kehidupan berpandukan agama supaya menjadi contoh kepada anak kerana mereka guru pertama kepada anak serta bertanggungjawab terhadap pertumbuhan rohani dan jasmani anak.
Sabda Rasulullah SAW, diriwayatkan oleh Tirmizi yang bermaksud: Tidak ada lebih baik diberikan bapa kepada anaknya daripada adab yang elok.

Kehidupan berkeluarga mesti mengambil kira pengukuhan iman dalam diri melalui pendidikan rohani. Jiwa anak perlu diisi nilai murni supaya mereka mempunyai pegangan. Pada masa sama, ibu bapa perlu memahami jiwa anak supaya proses membimbing dilaksanakan secara berkesan.

Ibu bapa juga harus meluangkan masa berkualiti dan menjadi rakan baik kepada anak dengan memberi peluang mencurahkan masalah dihadapi. Cara ini membuatkan mereka tidak takut bercerita jika sesuatu perkara berlaku.

Peringkat akhir remaja menunjukkan kematangan dan wujud kepelbagaian pengalaman serta dapat membezakan baik atau buruk sesuatu perkara. Namun, pendidikan terhadap mereka tidak harus diketepikan kerana mereka suka membuat sesuatu yang dianggap dewasa dan menarik perhatian. Pada peringkat ini, ibu bapa adalah guru menunjukkan jalan kebaikan dunia dan akhirat.

Pendidikan pada peringkat akhir ini mesti dengan lemah lembut supaya jiwa anak tidak mudah tersentuh. Anak tidak boleh dimarahi atau ditengking yang menyebabkan mereka kasar serta hilang rasa hormat terhadap orang lain.
Kebebasan wajar diberi kepada remaja selagi tidak bertentangan ajaran Islam. Pendapat atau pandangan bernas mereka mesti diambil kira supaya mereka rasa dihargai serta diberi perhatian oleh orang lain. Ibadat diajarkan Islam mengandungi daya dan wasilah untuk mengasuh anak menjadi insan yang berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Remaja harus didedahkan mengenai tanggungjawab untuk melangkah ke alam kedewasaan.

Wednesday, September 15, 2010

Laman sembang sosial jerat gadis ke kancah zina

Sumber Metro Online

Laman sembang sosial yang popular untuk mencari rakan, menyalur maklumat dan tempat bersembang menerusi maya dikesan turut disalah guna segelintir lelaki sebagai alat menjerat gadis termasuk masih di bangku sekolah rendah terjebak dalam kancah perzinaan.

Lebih mengejutkan ada mangsa yang terjerat itu seawal usia 11 tahun selepas terperangkap dengan kata-kata manis menerusi laman terbabit.


Mendedahkan barah sosial yang menakutkan itu, seorang mangsa hanya mahu dikenali sebagai Elin, 13, berkata dia didedahkan dengan sembang Internet sejak dari kecil oleh keluarganya.


“Saya jadi obses bersembang di ruang maya hingga sanggup tidak turun makan. Balik sekolah terus menghadap komputer, berjam-jam pun tak menjadi masalah.


“Seronok ada ramai kawan sebab di rumah selalu sunyi. Masa itu pun saya ada lebih 2,000 kawan di ruangan Friendster itu yang kebanyakan tak pernah jumpa bersemuka pun.


“Dalam ramai-ramai, ada juga beberapa lelaki cuba mengurat dengan menghantar ayat cinta dan saya akui seronok,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.


Menurutnya, tanpa disedari kekerapan bersembang dengan imaginasi yang membuai itu menyebabkan perasaan mahu berjumpa lelaki terbabit membuak-buak.


Pertemuan demi pertemuan selepas itu daripada bermulanya aksi ringan-ringan hinggalah terjadinya perbuatan sumbang yang akhirnya menyebabkan Elin terjebak dengan kehidupan liar.


Seorang mangsa lain, hanya mahu dikenali sebagai Maimun, 16, berkata dia tidak menyangka pergaulan bebas di ruang maya turut dijadikan tempat merancang aktiviti maksiat dengan rakan sealiran.


“Kami bebas meluahkan apa saja tanpa sekatan. Malah saya turut ‘join’ (masuk) dalam kumpulan gadis lain yang menubuhkan kelab sayang balak (teman lelaki).


“Bersembang dengan mereka lebih baik daripada memikirkan masalah keluarga. Saya duduk dengan emak selepas ayah ceraikan emak.
“Emak kerap bawa balik lelaki dan dia juga minum arak. Saya fikir, kalau emak boleh buat macam itu, maknanya saya pun boleh melakukan perkara yang sama. Malah, kali pertama saya masuk ke disko ialah bersama emak,” katanya.


Disebabkan itu Maimun menyatakan dia mula berjinak-jinak dengan laman sembang sosial sebagai satu cara melepaskan tekanan, di samping mencari rakan.


Kali pertama dia terperangkap dalam aktiviti seks bebas menerusi laman sosial ialah dengan kenalan lelaki berusia 22 tahun, manakala Maimun ketika itu masih belajar dalam tingkatan dua atau 14 tahun.


Apapun, Elin dan Maimun yang kini dalam proses pemulihan di Rumah Iman Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim) berharap masih ada sinar kepada mereka untuk bertaubat.

Cuma apa yang ditakutkan mereka ialah bagaimana mahu menghadapi dugaan sebaik saja keluar daripada rumah pemulihan itu kelak, lebih-lebih lagi menerima tiga ancaman moden terbesar dalam hidup mereka sebelum ini iaitu komputer, telefon bimbit dan televisyen.


Pengerusi Sidim, Hanafi Abdul Malek berkata sesuatu perlu dilakukan dalam kes zina berkaitan dengan laman sembang sosial yang nampaknya disalahguna untuk menggalakkan aktiviti seumpamanya.

Monday, July 5, 2010

Adik hamil luar nikah

Image Hosted by ImageShack.usSUMBER..MYMETRO

SAYA masih belum berkahwin dan kakak berusia 26 tahun. Kehidupan keluarga saya sempurna dari segi didikan serta kerjaya membanggakan.
Baru-baru ini, saya dikejutkan dengan berita adik mengandung anak luar nikah. Ia memberikan tamparan hebat kerana tidak menyangka perkara itu boleh berlaku. Sebagai kakak, tentunya saya rasa bertanggungjawab terhadap kejadian itu.

Saya bersama dua lagi kakak bercadang merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan emak dan ayah kerana mereka sangat beremosi. Kami khuatir berlaku perkara buruk jika mereka tahu.

Kami juga bertindak demikian kerana bimbang saudara-mara serta jiran mengetahui perkara itu, selain mengelakkan aib pada emak dan ayah.

Buat masa ini, adik saya tinggal bersama kakak kedua bagi memudahkan proses bersalin. Saya sebenarnya tidak mampu melelapkan mata serta melakukan kerja dengan sempurna kerana risau ibu bapa pasti mengetahui perkara itu. Apakah yang kami lakukan ini wajar atau sepatutnya dilakukan? Bagaimana saya boleh membimbing adik supaya berubah serta menjadi insan berguna?
Han,
Pahang
HAN, hidup ini memang banyak dugaan. Daripada sebuah keluarga sempurna serta mempunyai kerjaya sempurna, tiba-tiba hidup diduga dengan berita mengejutkan iaitu kehamilan luar nikah adik kandung. Peristiwa itu tentu sekali mengganggu perjalanan kehidupan keluarga Han yang selama ini selesa.

Apa yang berlaku dalam keluarga Han boleh berlaku juga kepada keluarga lain. Masalah sosial tidak terbatas kepada keluarga yang bermasalah saja. Ia boleh berlaku kepada keluarga yang berantakan, berkonflik atau bahagia. Kebanyakan ibu bapa berusaha sedaya upaya mendidik anak menjadi insan berguna. Namun, hasilnya tidak seperti diinginkan kerana masih lagi terbabit dengan gejala sosial. Mengandung anak luar nikah berpunca daripada pelbagai faktor. Antaranya terbabit dengan seks bebas, tertipu dan tanpa kerelaan hati. Bagaimanapun, masalah mengandung anak luar nikah perlu ditangani dengan berhati-hati kerana kita tidak mahu kejadian membuang bayi tiada kesudahannya. Apabila anak menimbulkan masalah, keluarga tidak boleh berputus asa. Oleh itu, Dr amat berterima kasih kerana Han mempunyai sifat tanggungjawab dan pada masa sama, memahami ingin merahsiakan kehamilan daripada pengetahuan emak serta ayah kerana tidak mahu melukakan hati mereka.

Saat-saat sukar itu perlu dilalui dengan penuh kesabaran. Setiap ahli keluarga harus saling menyokong dan mencari jalan penyelesaian.

Memang sukar untuk berhadapan dengan situasi yang menimbulkan aib kepada keluarga. Perasaan malu kerana takut pelbagai persepsi negatif daripada jiran dan kawan-kawan. Perasaan berkenaan adalah lumrah. Bagi mengelakkannya, jangan mengabai dan mengetepikan masalah utama. Bantu menangani masalah adik mengenai kehamilan anak luar nikahnya dengan rasional.

Keputusan tidak mahu memberitahu emak dan ayah mengenai kehamilan itu wajar atau tidak bergantung kepada keutamaan penyelesaian masalah. Apakah isu yang lebih penting perlu diselesaikan terlebih dulu? Adakah Han lebih memikirkan malu atau aib kepada jiran atau lebih kepada ingin menjaga perasaan ibu bapa? Bagaimana pula dengan usaha untuk membantu adik yang hamil?. Dalam konteks mencari jalan penyelesaian utama, berbincanglah dengan adik dan kakak yang lain. Cari penyelesaian yang tidak merugikan kerana adik yang sedang hamil mengalami saat traumatik hidup. Ketika ini, dia amat memerlukan bantuan dan sokongan, terutama sekali ahli keluarga. Seeloknya setiap ahli keluarga hadir menghulurkan simpati dan bantuan serta menunjuk jalan supaya tidak terus sesat.

Justeru, Han perlu membimbing adik untuk menjadi seorang insan yang berguna. Jika disisih dan dihukum, hidup adik pasti terus terumbang-ambing. Menyisihkan tentunya lebih melukakan.

Bincang dengan kakak cara terbaik untuk memberitahu orang tua anda supaya tidak menjadi terlalu emosional apabila menerima berita kehamilan luar nikah itu. Pada masa sama, buat perancangan teliti untuk membantu adik. Cari jalan supaya kejadian itu tidak menjadi berita sensasi jiran. Jangan menafikan hak adik untuk dibantu. Perancangan teliti penting kerana masalah itu turut membabitkan kehadiran seorang anak yang tidak berdosa (anak adik).
Merahsiakan perkara itu mungkin menyelesaikan masalah pada waktu sekarang. Namun, ia bukan penyelesaian sebenar. Lantaran ia realiti sebuah keluarga yang benar-benar wujud. Tanpa mengira keluarga bahagia atau sebaliknya. Memang tidak ada jalan mudah kepada penyelesaian masalah yang Han hadapi. Mungkin berlaku insiden saling salah-menyalahkan dan menimbulkan perasaan marah daripada setiap individu yang terbabit. Ia perkara normal. Bersedialah untuk menghadapi perkara itu selain mencari jalan keluar terbaik kepada penyelesaian masalah. Ia antara jawapan kepada jalan keluar kepada konflik yang Han dan adik alami. Dr doakan yang terbaik untuk Han, adik dan keluarga.