Thursday, September 23, 2010

Tafsir Ayat: Amalan baik, takwa pelengkap keutuhan iman

FIRMAN Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan (muhasabah) terhadap apa yang dia telah sediakan (dari amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.” (Surah al-Hasyr, ayat 18)
Prof Hamka dalam kitab tafsir al-Azhar berkata, ayat ini menjelaskan iman adalah kepercayaan dan takwa pula pemeliharaan hu bungan dengan Allah. Oleh sebab itu, beriman semata-mata belum memadai sebelum dilengkapi amalan yang merapatkan hubungan dengan Allah.
Kedatangan Syawal adalah isyarat jelas terhadap keimanan dan ketakwaan seseorang Muslim. Syawal itu adalah bulan peningkatan iman, takwa dan amal soleh setelah umat Islam menghadapi ujian ibadat puasa dan tarbiah jasmani serta rohani ketika Ramadan. Ayat ini merakamkan kisah berlaku pada zaman Nabi SAW. Diriwayatkan, Abu ‘Amr iaitu Jarir bin Abdullah berkata: “Kami pernah berada di sisi Rasulullah SAW pada waktu tengah hari. Kemudian datanglah kepada Baginda SAW, satu kaum yang tidak berpakaian, mengenakan pakaian bulu harimau, bergaris-garis lurik sambil menyandang pedang, umumnya mereka itu dari suku Mudhar atau memang semuanya dari Mudhar.

Maka, berubahlah wajah Rasulullah SAW kerana sedih melihat kemiskinan mereka. Kemudian Baginda masuk ke rumahnya, lalu keluar lagi, terus menyuruh Bilal untuk azan. Selanjutnya Bilal berazan dan beriqamah, lalu mendirikan solat, kemudian Baginda berkhutbah.”

Antara isi khutbah, Rasulullah SAW membacakan ayat al-Quran yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kamu semua kepada Tuhanmu yang menjadikan kamu semua dari diri yang satu iaitu Adam, hingga ke akhir ayat iaitu yang bermaksud: Sesungguhnya Allah itu Maha Mengawasi bagimu semua.” (Surah al-Nisa’, ayat 1)

Selepas itu, Baginda membacasurah al-Hasyr, ayat 18 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan (muhasabah) terhadap apa yang dia telah sediakan (dari amalnya) untuk hari esok (hari akhirat).”
Pada saat itu, ada orang yang bersedekah dengan dinar, dirham, bajunya, segantang gandum, segantang kurma, sehingga Baginda SAW bersabda: “Sekalipun dengan hanya sebiji kurma juga baik.”

Seterusnya semakin ramailah orang yang tampil ke hadapan Rasulullah SAW memberikan sumbangannya masing-masing, sehingga aku dapat melihat ada dua longgokan makanan dan pakaian dan aku melihat wajah Rasulullah SAW berseri-seri, seolah-olah bercahaya bersih sekali.

Pengajaran penting yang dapat difahami, Allah menekankan perintah melakukan amalan bermuhasabah diri dengan dimulai dan diakhiri kalimah takwa. Ini jelas menunjukkan amalan muhasabah yang hendak dilakukan perlu berpaksikan piawaian takwa kepada Allah.

Jelaslah yang dimaksudkan orang yang mengaku beriman kepada Allah perlu memupuk imannya dengan takwa, lalu merenung untuk hari esoknya. Antara persoalan yang perlu dijawab ialah apakah gerangan bekalan yang perlu dibawa untuk dipersembahkan di hadapan Allah.

Oleh itu, timbang-timbanglah terlebih dulu untung ruginya bekalan hidup di dunia ini sebelum ditimbang di hadapan Allah kelak. Renung-renunglah persiapan yang disediakan untuk menghadapi hari esok dan lihatlah jika masih ada lagi yang kurang.

0 comments:

Post a Comment