Saturday, July 3, 2010

Kaka terlalu sedih

 2010/07/04

PORT ELIZABETH: Bintang Brazil, Kaka berkata tiada siapa yang lebih bersedih daripada pemain selepas juara lima kali itu disingkirkan Belanda pada Piala Dunia.
Robinho meletakkan Brazil di depan tapi gol sendiri Felipe Melo dan gol penentu Wesley Sneijder membolehkan Belanda layak ke separuh akhir.

Kaka berkata kejohanan itu secara keseluruhannya amat sukar buatnya.

“Ia adalah Piala Dunia yang merumitkan, cara saya tiba di sini,” kata Kaka, yang hadir ke kejohanan itu selepas mengalami kecederaan paha yang menjejaskan musimnya di Real Madrid berikutan perpindahan dari AC Milan.

Dia kemudian dibuang padang secara tidak adil menentang Ivory Coast pada peringkat kumpulan dan sekalipun dia berjaya membuat tiga umpanan yang menghasilkan gol, dia gagal membuktikan dirinya sebagai pemain yang memakai jersi bernombor 10 Brazil, jersi yang berstatus legenda pernah digunakan Pele.“Saya lakukan sedaya mungkin - saya bertarung, saya merampas bola, saya benar-benar mencuba,” tegas Kaka.
“Sayangnya, jangkaan memang selalunya tinggi di Brazil kerana rakyat mengharapkan kami memenangi kejuaraan dan apabila kami gagal, ia mencetus kekecewaan,” kata perancang utama itu.

Kaka berkata Brazil akhirnya tersingkir selepas babak pertama yang cemerlang menyaksikan Robinho meletakkan mereka di depan.

“Hanya perkara kecil boleh mengubah keadaan - beberapa ‘set-piece’ yang menghasilkan dua gol Belanda.” Kaka, seperti rakan sepasukannya, enggan membincangkan sama ada mereka masih ada peranan penting untuk dimainkan pada kejohanan 2014 di Brazil, yang kali terakhir menjadi tuan rumah acara itu pada 1950, apabila mereka tumpas di tangan Uruguay. - AFP

0 comments:

Post a Comment