Thursday, July 8, 2010

Kereta remuk dibaling sampah

PECAH...keadaan cermin kereta mangsa yang pecah.


 sumber mymetro
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Raja Noraina Raja Rahim

2010/07/08

KUALA LUMPUR: Kerja dajal apabila seorang penghuni pangsapuri sengaja membaling bungkusan plastik berisi sampah dari tingkat atas sebuah flat PPR Setapak di sini, menyebabkan sebuah kereta penduduk yang diletakkan di tempat letak kereta remuk.
Lebih malang pabila pemilik kereta berkenaan yang juga seorang jurujual terpaksa menanggung kerugian RM1,500 bagi kos membaik pulih kenderaan itu yang pecah pada bahagian cermin hadapan serta kemek pada bumbung.
Mangsa, Lau Boon Seng, 26, berkata dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam, Khamis lalu, dia terkejut apabila dimaklumkan seorang jirannya yang tinggal di tingkat satu berhubung kejadian itu.

Menurutnya, dia yang tinggal di tingkat dua bergegas turun sebelum mendapati kereta Proton Satria miliknya kemek dihempap plastik sampah. “Agak mengejutkan apabila bungkusan plastik sampah itu yang mengandungi sisa makanan dan botol kaca bertaburan di atas bumbung kereta saya.

“Berdasarkan kesan kemek dan pecah itu, saya yakin bungkusan sampah itu dibuang penghuni yang tinggal di tingkat paling atas flat 17 tingkat berkenaan,” katanya.
KESAL...Lau (kanan) dan penasihat guaman MCA, Datuk Theng Book menunjukkan gambar keretanya yang rosak.

Menurutnya, bungkusan sampah itu mengandungi botol kicap, sos cili, sisa makanan, kotak produk inai selain peralatan menghisap dadah.

“Jika plastik sampah yang dibuang itu terkena penduduk pasti kecederaan yang dialami boleh membawa maut,” katanya ketika ditemui, semalam.

Lau berkata, sikap kurang ajar segelintir penduduk yang sengaja membuang sampah dari tingkap rumah berikutan enggan menggunakan bakul sampah disediakan amat dikesalkan.

“Sebelum ini beberapa pekerja pembersihan yang sibuk menjalankan tugas di tingkat bawah pangsapuri cedera selepas terkena objek keras yang sengaja dijatuhkan dari tingkat atas flat.

“Saya sudah membuat aduan kepada pihak pengurusan flat termasuk membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul berhubung kejadian berkenaan,” katanya.

0 comments:

Post a Comment