Thursday, July 22, 2010

3 Lelaki Direman

 Sumber...Kosmo Online

ALOR SETAR - Tiga lelaki yang sebelum ini hidup mewah walaupun tidak mempunyai pekerjaan tetap bertemu buku dengan ruas apabila kesemua mereka ditahan selepas disyaki terlibat memalsukan 137 keping kad kredit luar negara Isnin lalu.
Suspek-suspek berusia 28 tahun yang ditahan tersebut dipercayai telah melakukan transaksi pembelian bernilai RM200,000, kesemuanya di Kuala Lumpur, dalam tempoh tiga tahun untuk membeli jam dan minuman keras sebelum dijual dengan harga murah.
Dua daripada mereka diberkas di sebuah rumah sewa di Taman Mahagoni, Jalan Tanjung Bendahara di sini pada pukul 5 petang Isnin lalu manakala seorang lagi ditahan di rumah yang sama pukul 11 pagi semalam.
Difahamkan, mereka memiliki sebuah kereta bernilai RM200,000 dan menetap di sebuah rumah teres. Perkara itu mengundang rasa curiga jiran kerana kesemua suspek tiada kerja tetap.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Deputi Supritendan Idris Abdul Rahman berkata, suspek biasanya membuat satu atau dua transaksi bernilai antara RM1,000 dan RM6,000 bagi satu kad kredit sebelum pihak bank menyekat penggunaannya.
Katanya, suspek membeli kad-kad kredit tersebut daripada seorang lelaki dipercayai anggota satu sindiket pemalsuan kad kredit di Kuala Lumpur yang dijual bersama pasport antarabangsa, lesen memandu luar negara dan kad kosong.
"Modus operandi mereka ialah membeli barangan tersebut menggunakan kad kredit luar negara dan bagi meyakinkan peniaga mereka turut menunjukkan pasport dan lesen memandu luar negara termasuk dari Australia serta New Zealand.
IDRIS (kanan) menunjukkan sebahagian kad kredit palsu yang dirampas daripada tiga lelaki pada sidang akhbar di Alor Setar semalam.
"Sekeping kad kredit dibeli dengan harga RM480, kad kosong pula RM35, lesen memandu RM200 dan pasport antarabangsa RM200," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.

0 comments:

Post a Comment