Tuesday, July 6, 2010

Polis kenal pasti 10 `sekolah panas' di Kuala Lumpur

SUMBER MYMETRO

KUALA LUMPUR: Sepuluh sekolah menengah di sekitar ibu negara dikenal pasti sebagai sekolah bermasalah atau 'sekolah panas' kerana masalah disiplin, jenayah dan sosial di kalangan pelajarnya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, polis sudah menyenaraikan sekolah-sekolah berkenaan agar usaha dapat digembleng ke arah menangani masalah itu dan memastikan sekolah sifar jenayah.
"Berikutan banyak kes jenayah dan sosial berlaku membabitkan pelajar sekolah, kami bertindak mengenal pasti sekolah panas agar kami dapat memberi fokus dan menjalankan kempen pencegahan jenayah secara kerap di sekolah-sekolah berkenaan.

"Kami tidak mahu umumkan sekolah mana yang terlibat kerana ia tidak elok untuk imej dan reputasi sekolah berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Pendidikan Pencegahan Dadah dan Jenayah 2010 di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Maluri di sini hari ini.

Beliau berkata, aktiviti seperti pameran, ceramah, dialog dan edaran risalah pencegahan jenayah akan diadakan dari semasa ke semasa di sekolah panas yang sudah dikenal pasti itu bagi mengingatkan pelajar agar menjauhkan diri daripada masalah sosial dan jenayah.

Muhammad Sabtu berkata, seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) turut ditugaskan ke sekolah berkenaan sebagai "liaison officer" untuk memantau serta berbincang bersama pihak sekolah termasuk menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

"Aduan dan masalah yang diutarakan akan dibincang bersama pihak sekolah berkenaan agar ia dapat ditangani dengan kadar segera. Pegawai itu turut ditugas menyerahkan laporan kepada kami setiap bulan.

"Program ini adalah satu usaha untuk mendekatkan pelajar dan polis bagi memudahkan proses penyaluran maklumat, mengesan aktiviti dan permasalahan jenayah yang wujud, sekaligus membanteras kegiatan tidak sihat di kalangan murid dan pelajar sekolah," katanya.

Muhammad Sabtu berkata, pada tahun lalu, seramai 179 tangkapan dicatat membabitkan kanak-kanak berusia seawal tujuh tahun hingga remaja berusia 18 tahun atas pelbagai kesalahan membabitkan jenayah kekerasan dan harta benda termasuk mencuri, samun dan merusuh.

Beliau berkata, pada 2008, seramai 202 pelajar berusia 11 hingga 18 tahun ditahan, juga atas jenayah kekerasan dan harta benda termasuk rogol, samun dan pemerasan.

Muhammad Sabtu berkata, bagi kes dadah, pada tahun lepas sahaja seramai 67 pelajar, termasuk sembilan pelajar sekolah, ditahan manakala pada 2008 seramai 17 orang pelajar termasuk empat pelajar sekolah ditahan dan seramai 13 orang pelajar termasuk seorang pelajar sekolah ditahan pada 2007.




"Situasi ini sangat membimbangkan apabila menunjukkan kenaikan setiap tahun...harap ini dapat memberi iktibar kepada yang lain terutama pelajar sekolah agar tidak sesekali terjerumus dalam jenayah dan dadah.

"Masalah sosial dan jenayah turut berpunca daripada pelajar yang suka meniru gaya hidup sosial ala barat dan mengikut budaya negatif...jika meniru dari segi pembangunan, kami alukan tetapi dari segi sosial, ia hanya merosakkan diri," katanya.-Bernama

0 comments:

Post a Comment