“Hukuman yang diterima itu tidak setimpal dengan apa yang mereka lakukan ke atas mama dan tiga yang lain,” kata Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, anak jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, selepas dua lelaki dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Majistret Banting, Selangor, semalam.
Dia yang mesra dengan panggilan Rita mengaku berasa terkilan dengan keputusan itu, tetapi agak lega kerana pihak yang bertanggungjawab menerima pembalasan walaupun tidak setimpal.
Rita berkata, sepatutnya kedua-dua tertuduh yang mengaku bersalah menghapuskan bukti dengan membakar dan membuang abu mayat ibu dan tiga rakannya ke sungai, menerima hukuman lebih daripada tujuh tahun penjara.
“Kalau betul apa yang mereka lakukan itu, saya rasa semua orang pasti setuju jika hukuman yang lebih berat dikenakan terhadap tertuduh kerana tindakan menghapuskan bukti hingga tiada mayat dan hanya tinggal serpihan tulang memang tidak berperikemanusiaan terutamanya kepada semua keluarga mangsa.
“Tetapi kalau peruntukan undang-undang sudah sedemikian saya akur dan percaya dengan siasatan dilakukan pihak berkuasa terutamanya polis,” katanya yang ditemui di pejabatnya di Jalan Raja Bot, petang semalam.
Selain itu, ekoran daripada pembebasan beberapa suspek lain yang dikatakan mempunyai kaitan dalam kes berkenaan, dia meluahkan perasaan sedikit gusar kerana selepas apa yang menimpa ibu dan tiga yang lain atau mungkin ramai lagi, banyak perkara yang difikirkan boleh berlaku ke atas diri dan keluarga.
“Bila dengar ada yang sudah bebas, saya berasa agak takut juga kerana mungkin masih ada dendam yang terpendam dan mungkin juga tidak, tetapi kita tidak tahu.
“Apa yang boleh kami lakukan hanyalah mengambil langkah lebih berhati-hati dan kehidupan sosial kini terpaksa dikurangkan,” katanya.
Namun, dia tidak menafikan kalau sesuatu perkara itu ingin berlaku ia akan tetap berlaku walau macam mana pun langkah berhati-hati diambil.
“Tengok macam mama, dia bukan pergi berseorangan tetapi ditemani tiga lelaki, kalau benda hendak jadi macam mana pun akan jadi. Kita terima musibah ini, cuma ambil iktibar dari apa yang sudah berlaku,” katanya. Sementara itu, ditanya adakah dia masih lagi berharap ibunya bukan mangsa pembunuhan kejam itu, dia berkata selagi keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) tidak diumumkan selagi itu masih lagi ada harapan dan kalau betul ibunya sudah tiada dia terima takdir seadanya.
Sumber Metro Online
2 comments:
Sudah ALLAH nyatakan dalam AL-QURAN:"Dan Kami tetapkan atas mereka di dalamnya (Taurat) bahwa jiwa dibalas dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi, dan luka luka pun ada Qisasnya. Barangsiapa yang melepaskan hak Qisas, maka melepaskan hak itu jadi penebus dosa baginya. Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka adalah orang-orang yang zalim." [Al Maa-idah:45]
Tapi masih juga tidak mahu mengikutnya..dan sekarang apa yang terjadi..inilah manusia,meremehkan perintahNYA..
salam...
bukti DNA masih samar, sy pkir dua lelaki ini adalah saksi besar dan penting bg pihak pendakwa. Apabila mereka mengaku membuang abu/sisa mayat, maksudnya ada pembunuhan brlaku..step yg paling sukar skrg utk mengaitkan / membuktikan bahawa yg dibuang itu ialah abu mayat arwah Sosilawati dan rakan2nya..sy pkir mereka mngkin dijatuhkan hukuman yg ringan kerana sanggup mnjadi saksi bg pihak pendakwa...?? ntahlaa...
Post a Comment