Showing posts with label Datuk Sosilawati Lawiya. Show all posts
Showing posts with label Datuk Sosilawati Lawiya. Show all posts

Saturday, October 16, 2010

'Hukuman tak setimpal' memang tak adil...hapus bukti kes bunuh 7 tahun saja penjara

“Hukuman yang diterima itu tidak setimpal dengan apa yang mereka lakukan ke atas mama dan tiga yang lain,” kata Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, anak jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, selepas dua lelaki dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Majistret Banting, Selangor, semalam.
Dia yang mesra dengan panggilan Rita mengaku berasa terkilan dengan keputusan itu, tetapi agak lega kerana pihak yang bertanggungjawab menerima pembalasan walaupun tidak setimpal.


Rita berkata, sepatutnya kedua-dua tertuduh yang mengaku bersalah menghapuskan bukti dengan membakar dan membuang abu mayat ibu dan tiga rakannya ke sungai, menerima hukuman lebih daripada tujuh tahun penjara.


“Kalau betul apa yang mereka lakukan itu, saya rasa semua orang pasti setuju jika hukuman yang lebih berat dikenakan terhadap tertuduh kerana tindakan menghapuskan bukti hingga tiada mayat dan hanya tinggal serpihan tulang memang tidak berperikemanusiaan terutamanya kepada semua keluarga mangsa.


“Tetapi kalau peruntukan undang-undang sudah sedemikian saya akur dan percaya dengan siasatan dilakukan pihak berkuasa terutamanya polis,” katanya yang ditemui di pejabatnya di Jalan Raja Bot, petang semalam.


Selain itu, ekoran daripada pembebasan beberapa suspek lain yang dikatakan mempunyai kaitan dalam kes berkenaan, dia meluahkan perasaan sedikit gusar kerana selepas apa yang menimpa ibu dan tiga yang lain atau mungkin ramai lagi, banyak perkara yang difikirkan boleh berlaku ke atas diri dan keluarga.


“Bila dengar ada yang sudah bebas, saya berasa agak takut juga kerana mungkin masih ada dendam yang terpendam dan mungkin juga tidak, tetapi kita tidak tahu.


“Apa yang boleh kami lakukan hanyalah mengambil langkah lebih berhati-hati dan kehidupan sosial kini terpaksa dikurangkan,” katanya.


Namun, dia tidak menafikan kalau sesuatu perkara itu ingin berlaku ia akan tetap berlaku walau macam mana pun langkah berhati-hati diambil.


“Tengok macam mama, dia bukan pergi berseorangan tetapi ditemani tiga lelaki, kalau benda hendak jadi macam mana pun akan jadi. Kita terima musibah ini, cuma ambil iktibar dari apa yang sudah berlaku,” katanya. Sementara itu, ditanya adakah dia masih lagi berharap ibunya bukan mangsa pembunuhan kejam itu, dia berkata selagi keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) tidak diumumkan selagi itu masih lagi ada harapan dan kalau betul ibunya sudah tiada dia terima takdir seadanya.

Sumber Metro Online

Wednesday, October 13, 2010

Empat termasuk peguam didakwa membunuh Sosilawati dan tiga yang lain

Peguam N Patmanabhan dan tiga orang lagi didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Datok di sini, hari ini atas tuduhan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Peguam berusia 41 tahun itu didakwa bersama-sama pekerja ladang T Thilaiyalagan, 19; R Matan, 20; dan R Khatavarayan, 30.

Kesemua mereka mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka. Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Pertuduhan terhadap Pathmanabhan, 41, dibacakan dalam bahasa Melayu, manakala pertuduhan terhadap tiga yang lain dibacakan dalam bahasa Tamil.

Kesemua mereka didakwa membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shansudin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pegawai bank CIMB Noorhisham Mohammad, 38 antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam, pada 30 Ogos 2010.

Pembunuhan itu didakwa dilakukan di Lot No 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting.

Majistret Hurman Hussain menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan semula bagi mengemukakan laporan kimia.

Terdahulu tiga daripada mereka dibawa ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan dengan sebuah van, manakala Patmanabhan dibawa dengan kereta Waja yang tiba di perkarangan mahkamah kira-kira 8.30 pagi.

Beberapa minit kemudian pasukan pendakwaan terdiri daripada Timbalan Pendakwaraya Ishak Mohamad Yusof, Idham Abdul Ghani and Saiful Edris Zainuddin tiba di mahkamah.

Sumber Metro Online

Wednesday, October 6, 2010

Isteri kedua suspek

Wanita dikehendaki, Jesyntha Clarene Isreal, 27, yang dipercayai mampu menyelesaikan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosila wati dan tiga individu lain dikatakan sedang menyembunyikan diri daripada dikesan pihak berkuasa. Dia yang juga isteri kedua kepada seorang suspek kes pembunuhan kejam itu dikatakan mengetahui perancangan dan kejadian pembunuhan berkenaan.

Sumber polis berkata, wanita terbabit adalah individu yang mengetahui mengenai perancangan dan kejadian pembunuhan kejam itu.

“Dia (Jesyntha) yang mengetahui dirinya sedang diburu pihak berkuasa meninggalkan rumahnya di Banting dan bersembunyi di lokasi yang masih belum diketahui,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan selepas 36 hari siasatan, kes kematian jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47, memasuki episod baru apabila seorang wanita kini amat dikehendaki polis kerana mampu membantu memberi maklumat yang boleh menyelesaikan kes berprofil tinggi itu.

Melalui laman web facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), wajah dan maklumat wanita dikenali sebagai Jesyntha Clarene Isreal itu didedahkan kepada umum dan kerjasama orang ramai amat diperlukan untuk mengesannya.
Jesyntha berusia 27 tahun dan memegang MyKad bernombor 830630-10-6030. Alamat terakhirnya ialah di Lot 55, Batu 1/2 Jalan Jugra, Banting, Selangor.

Mengikut laman facebook PDRM, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Jesyntha diminta menghubungi Deputi Superintendan Khoo Leng Huat melalui talian 010-4203791.

Selain itu, mereka yang inginkan keterangan lanjut mengenai wanita terbabit boleh melawat laman sosial rasmi PDRM di www.facebook.com/PolisDirajaMalaysia.

 Sumber Metro Online

Saturday, September 25, 2010

Sosilawati mencari kasih

SEBAGAI individu, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, bertuah kerana dianugerahkan Ilahi harta melimpah ruah hasil usaha kerasnya dalam bidang perniagaan, terutama kosmetik, selama ini.

Wartawan Metro Ahad, NORIAH IDRIS yang mengenali dan antara teman rapatnya sejak 16 tahun lalu, mempunyai bingkisan istimewa mengenai kisah hidup jutawan berhati waja itu.


“SATU hari ketika saya bermalam di rumahnya, dia pernah meluahkan rasa yang sangat meruntun hati saya sebagai sahabat dan wanita.


Beliau berkata: “Aku ada segala-galanya... (harta). Apa yang aku inginkan semua Tuhan bagi kecuali satu, iaitu kasih sayang. Aku tak pernah mengharapkan harta daripada mereka sebab aku sudah ada. Yang aku inginkan hanya kasih sayang.


“Sebenarnya, susah mencari lelaki yang benar-benar ikhlas menyayangi diri ini. Kalaulah aku dapat, pasti aku hidup bahagia. Lebih baik kita hidup sendiri daripada terus dikhianati.” Banyak kegembiraan dan kedukaan di sebalik tabir hidupnya tersingkap antara kami sehingga kepada hal peribadi. Namun hebatnya wanita bernama Sosilawati (Wati) ini, dia tidak pernah mempamerkan kepada khalayak akan kepedihan hatinya, misalnya duka perceraiannya dengan Bukhari Mohamad yang juga bapa kepada enam anaknya, sebagai batu penghalang kejayaannya.

Melihat kegigihannya bekerja dan sikapnya cepat mesra dengan sesiapa saja, terdetik di hati bahawa wawasan anak penoreh getah dari Kampung Sri Medan, Batu Pahat, Johor ini untuk melebarkan empayar perniagaan kerana dia terkenal sebagai gigih, degil, fokus dengan apa dilakukan serta bijak mengetepikan antara masalah peribadi dengan kerjaya, pasti tercapai.


Bercerita pengalamannya ketika premisnya di Jalan Raja Bot, dia pernah dihalau dan dengan titisan air mata, dia keluar dari pejabat berkenaan tetapi azam kuat disemat di dada bahawa dia akan buktikan sesuatu keajaiban akan berlaku.


Teringat kata-katanya bahawa dia perlu bekerja keras demi mempertaruhkan seluruh hidupnya dalam perniagaan selepas rumah tangga yang dibina lebih 10 tahun sebagai isteri kedua gagal. Ketika perniagaan beralih ke Diamond Square, Jalan Gombak, dia mendapat khabar bangunan kedai di Jalan Raja Bot bakal dilelong dan dia terus meminta penasihat kewangannya sebelum membuat permohonan untuk ‘mendapatkannya’ dan ternyata nasib menyebelahinya apabila dia membeli bangunan kedai itu dengan ‘bermaruah’.


Biarpun berpendidikan SPM, kesedaran terhadap pentingnya pelajaran sering menjadi pertaruhan buat anak dan sekali gus mewariskan perniagaan itu buat mereka.


Justeru, tidak hairan apabila dia membuat keputusan menghantar tiga anak perempuannya iaitu Erni Dekritawati Yuliana (Rita), 25, Erni Erinawati Sofia (Rina), 21, dan Erni Reenilawati (Reeni), 19, ke United Kingdom untuk mempelajari bidang yang menjadi aspirasi impian masing-masing.


Manakala Erwan Suwari Ridzuan, 24 dan Erwan Nasri, 23, banyak membantu urusan perniagaan ibunya manakala si bongsu, Siti Nur Fatimah, 13, masih menuntut dalam tingkatan satu di sebuah sekolah antarabangsa.


Sepanjang ketiadaan anaknya, saya bersama beberapa lagi rakan rapatnya yang lain banyak menemaninya demi mengelak kesunyian. Dia sebenarnya tabah menghadapi apa juga situasi dan terkenal sebagai insan yang kental semangatnya.

Setiap tahun dia terbang ke London bagi meninjau keadaan anak dengan membawa tiga lagi anaknya untuk memastikan segala-galanya berjalan lancar dan untuk teman, dia tidak pernah melupakan buah tangan, bahkan sering mengajak menemaninya bercuti.


Derita perkahwinan bagi Wati tidak lama kerana dia sering dikelilingi lelaki yang sering mengintip hatinya. Antara kebahagiaan yang pernah terakam dalam hidupnya dan pernah berbahagia rasa itu adalah mengenai rahsia cinta yang paling dalam terhadap vokalis rock kumpulan Lefthanded, Jamaluddin Elias (Nash).


Setiap kali bercerita mengenai lelaki yang bertakhta di hatinya itu, matanya sentiasa bersinar dan nama hebat itu tidak lekang daripada bibir apabila saya dapat menghidu bibit cintanya selepas dia mengerjakan umrah pada 2006 dan memberitahu pada tahun itu juga akan berkahwin.


Lalu perkahwinan paling berprestij dilangsungkan dalam tiga majlis resepsi dengan perbelanjaan hampir menelan lebih RM300,000.


Namun kebahagiaan dikecapi tidak panjang kerana di awal perkahwinan, beliau dapat menghidu sesuatu yang menyedihkan berlaku. Hampir dua minggu saya menyimpan rahsianya apabila dia sudah pun meminta peguam syarie, Datuk Zaidi Mohd Zain untuk memfail kes cerai.


Apabila segala-galanya terbongkar dan putuslah kasih antara mereka, cerita perceraiannya menjadi tatapan umum dan semua itu menjadi bahan luahan rasanya apabila kami berbual. Lepas satu-satu kontroversi melanda diri wanita bertaraf jutawan ini, namun sesuatu yang mengagumkan mengenainya, dia memang seorang yang tabah.


Seperkara lagi yang sering menjadi ingatan, apabila tidak lalu makan dan ke rumahnya, perkara pertama yang dilakukan adalah terus menuju ke dapur. Di atas meja sedia terhidang makanan buat rakan rapat atau sesiapa saja kerana dia terkenal hebat di dapur. Kalau saya ada masalah dan tidak mahu makan, dia akan menyuapnya ke mulut dan memaksa kita untuk terus mengunyahnya selayak ibu memaksa si anak makan. Sempat juga bergurau dengannya, selalu kami katakan kalau hendak ‘diet’ jangan datang ke rumah Wati dan dia akan tergelak besar.


Pernah dalam gurauannya dia berkata, bila ‘banglonya’ bakal dibina di Cyberjaya siap kelak, dia meminta ‘menjaga’ banglo di Taman Harmonis, Gombak apabila dia dan anak sudah ke sana. Pernah juga dia menunjukkan pelan banglo baru yang dianggar bernilai RM5 juta siap kelak, dia sudah menyiapkan bilik khusus buat rakan baiknya.


Mengenali Wati sebenarnya, hidup wanita itu ditabiri warna yang beraneka. Apabila sekali lagi kisah hidupnya tersingkap berikutan kes tangkap khalwat pada malam tahun baru 2010 bersama pasangannya oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tetapi dinafikannya bahawa beliau sudah bernikah dengan lelaki berkenaan. Saya yang tahu perancangan pernikahannya seawal November hanya tersenyum dengan spekulasi itu.


Kenangan terindah yang tidak mungkin saya lupa sampai bila-bila adalah berpeluang mengerjakan umrah pada April 2008 bersama dia yang tujuh kali melakukan ibadat itu, selain ditemani saudara-maranya, stokis dan kenalan yang rapat dengannya. Ketika kunjungan ke Makkah waktu itu, dia membawa adik perempuan tiri dan ibu tirinya.


Di situlah saya mengenali hati budi pemandu peribadinya Kamaruddin Shansuddin (Kamal), 44, dan Noorhisham Mohammad, 38 (pegawai bank CIMB) yang dipercayai turut dibunuh serta isteri Noorhisham, Suzana Radin Pangat.


Hubungan kami sangat akrab dan ketika Sosilawati, Kamal, Norhisham dan peguam, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, diberitakan hilang dan dibunuh kejam, hati ini menangis pedih kerana sudah tiada lagi teman tempat menyandarkan serta berkongsi rasa.”

sumber metro online

Sunday, September 19, 2010

Kes bunuh Sosilawati: RM1j setahun

Pengasas rangkaian produk kecantikan Nouvelles Visage, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, bukan saja membantu menyediakan pekerjaan bagi membaiki taraf hidup ahli keluarga, malah memperuntukkan RM1 juta setahun bagi membiayai perbelanjaan anak yatim di seluruh negara.

Katanya, keluarga bukan mahu bermegah atau berbangga dengan pemberian kakaknya, namun berasa terharu kerana kakaknya tidak pernah melupakan asal usul dan menghulurkan bantuan kepada pelbagai pihak yang memerlukan.


“Hubungan kami rapat, namun keluarga tidak pernah mengambil tahu perbelanjaan dan cara Kak Wati menggunakan wangnya.


“Namun apabila Dr Robia memberitahu Kak Wati memperuntukkan RM1 juta untuk anak yatim seluruh negara setiap tahun, kami rasa terharu.


“Bukan niat mahu bermegah, tetapi terharu kerana ia membuktikan Kak Wati tidak pernah lupa pada awal perjalanan hidup kami yang susah dengan menghulurkan bantuan bagi membantu insan kurang bernasib baik ketika dia menerima rezeki yang melimpah ruah,” katanya.

Menurutnya, selain menghulurkan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik, kakaknya tidak lupa membantu adik-beradiknya bagi membolehkan mereka membaiki taraf hidup.


Katanya, selain sifat tidak suka meninggi diri, Kak Wati sentiasa mencari peluang membantu adik beradik, terutama menyediakan peluang pekerjaan.


Ketua Kampung Sri Menanti, Sri Medan, Omar Salleh, 63, berkata Sosilawati sebenarnya tidak suka pemberiannya diperbesarkan kerana tidak mahu dianggap menunjuk-nunjuk sedangkan dia ikhlas memberi bantuan.


“Sifat pemurah Sosilawati banyak membantu penduduk dengan memberi bantuan berterusan kepada Masjid Seri Dayong, Sri Medan; surau di Kampung Sri Menanti dan sekolah angkatnya, Sekolah Kebangsaan Seri Dayong serta Sekolah Agama Seri Dayong.


“Ketiadaannya bukan saja menyedihkan keluarga dan penduduk, malah murid sekolah yang banyak merasai pemberiannya sebelum ini,” katanya.


Sementara itu, penduduk kampung berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dengan teliti bagi menjawab kehilangan Sosilawati.


Seorang penduduk kampung yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, penduduk menghormati keluarga itu yang melalui pelbagai dugaan sepanjang tahun ini, terutama kehilangan Sosilawati.

“Jika benar suspek melakukan pembunuhan kejam itu, kami berharap hukuman keras dijatuhkan terhadap mereka.


“Kehilangan Sosilawati bukan saja ditangisi keluarga, malah penduduk kampung terasa kehilangan beliau yang banyak menabur jasa di kampung ini.


“Wang boleh dicari tetapi nyawa tidak boleh diganti, berikutan itu penduduk berharap jika benar Sosilawati dibunuh, biar pelakunya mendapat balasan setimpal,” katanya.


Katanya, hampir setiap hari dia melawat keluarga Sosilawati untuk memberi sokongan dan berharap keluarga berkenaan tetap tabah mengharungi ujian ini.


Seorang lagi penduduk, Tukinah Samsuri, 40, berkata kali terakhir dia menemui Sosilawati ketika kenduri tahlil arwah sebelum Ramadan lalu.


“Sejak berita pembunuhannya disiarkan akhbar, perasaan bimbang penduduk bertukar sedih dan berharap penjenayah berkenaan akan dikenakan tindakan tegas,” katanya.


Adik ipar Sosilawati, Misjan Jamikun, 48, berkata keluarganya membuat persiapan bagi mengkebumikan jenazah berbentuk tulang atau cebisan daging jutawan itu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sri Menanti.

Sumber Metro Online

Polis siasat kematian Sarina, tentukan kaitan dengan kes Sosilawati

Polis akan menyiasat kematian pengasas Aveer Cosmetics, Sarina Jaafar bagi memastikan sama ada kes itu berkait dengan pembunuhan rakan baiknya, Datuk Sosilawati Lawiya.
"Apa-apa yang kita dengar, yang berkaitan, kita akan siasat. Kita akan tentukan, bukan sahaja lihat dari satu sudut tapi semua sudut kita akan lihat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri, di Parlimen hari ini.

Sarina, 45, ditemui mati dalam keadaan tergantung di bilik tidurnya di Taman Pauh Jaya, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada jam 8.30 pagi semalam, dan media melaporkan wanita itu ada memaklumkan kepada anggota keluarga tentang keinginannya menggantung diri.

Dia juga dilaporkan memberitahu keluarga berasa tertekan dan sedih dengan kejadian yang menimpa Sosilawati yang disahkan dibunuh bersama tiga individu lain, sebelum mayat mereka dibakar dan abu ditabur ke dalam sungai di Banting, Selangor.

Sementara itu, ditanya mengenai desas-desus polis melakukan pemeriksaan di pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah dan klinik milik isterinya, Ismail berkata perkara itu masih dalam siasatan.
"Siasatan masih lagi berjalan kerana kita mendapat perkembangan baru mengenai gambaran yang lain. Apa yang penting, dalam masa terdekat ini kita boleh selesaikan segalanya," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai tujuan pemeriksaan itu yang dipercayai dilakukan semalam.

Jumaat lalu, Murugiah membuat laporan polis berhubung satu SMS yang mengaitkan beliau dengan seorang peguam yang menjadi suspek utama kes pembunuhan Sosilawati.

Murugiah sebelum itu memberitahu media bahawa suspek adalah penyumbang utama hamper dan pelbagai barangan lain yang disampaikan beliau kepada masyarakat Orang Asli pada satu majlis di Banting pada 8 September lalu. -Bernama