“Perasaan berdebar menyebabkan saya terpaksa melafazkan akad nikah sehingga tiga kali. Saya fikir tak perlu menggunakan pembesar suara. Bila tengok pembesar suara, saya jadi gemuruh dan gugup.” Demikian kata pengacara program Akademi Fantasia 8 (AF8) dan Trek Selebriti, Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 30, yang selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Nursuhaila Eliani Suhaimy, 24, di rumah Suhaila di Sunway Rahman Putra, Sungai Buluh, dekat sini semalam.
Jimmy berkata, dia juga agak keletihan kerana pada malam kelmarin dia hanya tidur jam 4 pagi kerana memikirkan pelbagai perkara mengenai majlis perkahwinannya. “Jam 2 pagi saya masih lagi sibuk menghantar kad jemputan untuk majlis resepsi di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) esok (hari ini), ” katanya.
Sebelum akad nikah berlangsung, rombongan pengantin lelaki seramai 50 orang ini membawa sembilan dulang hantaran dan dibalas 11 dulang oleh pihak perempuan. Selepas tiga kali lafaz, pada jam 4.40 petang, Jimmy sah bergelar suami kepada anak usahawan produk kecantikan Natasya, Datin Muniroh Kasim ini.
Majlis akad nikah disempurnakan Penolong Pendaftar Nikah dan Jurunikah Masjid Al-Mukarramah Bandar Sri Damansara, Ustaz Mustaffa Kamal Abu Bakar bersama dua saksi, Mohd Fadhil Mohd Nor dan Mohd Yusof Mohd Isa.
Turut menyaksikan acara itu ialah ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pasangan ini termasuk ayah dan ibu pengantin perempuan, Datuk Suhaimy Othman dan Datin Muniroh Kassim. Ibunya dilihat menitiskan air mata selepas anaknya selamat bergelar isteri kepada Jimmy.
Sebelum akad nikah berlangsung, majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci al Quran oleh peserta Imam Muda, Adib. Suhaila menerima mas kahwin dan hantaran RM31, 186.00 mengambil sempena tarikh lahirnya pada 31 Januari 1986 dan cincin pusaka peninggalan arwah ibu Jimmy. Majlis resepsi dan persandingan mereka akan berlangsung di Grand Ballroom, KLCC jam 8 malam ini.
Sumber Mymetro
1 comments:
wah..... kawen jugak dia akhirnya...
tak heboh pun pasal ni? aku baca blog ni baru tau
Post a Comment