SEJAK kecil, Angelina Jolie dikenali sebagai seorang yang suka memberontak, pernah mengambil dadah dan mempunyai hubungan cinta yang cukup rumit.
Namun, tidak ramai yang tahu, sikap liar Angelina itu sebenarnya berpunca daripada tindakan ibunya yang tidak mempedulikan pelakon itu sejak dia kecil. Demikian menurut laporan catatan biografi terbaru mengenai aktres itu.
Marcheline Bertrand menyisihkan Angelina ketika dia berusia setahun di apartmen berasingan di Los Angeles di bawah jagaan seorang pengasuh selama dua tahun. Marcheline yang berang dengan bapa Angelina, pelakon Jon Voight mempunyai hubungan sulit bersama perempuan lain melepaskan geramnya terhadap anak mereka kerana wajah Angelina dikatakan begitu mirip bapanya.
Catatan biografi itu turut melaporkan Marcheline tidak menerima kehadiran Angelina dalam hidupnya sehingga aktres itu berusia tiga tahun. Insiden itu menyebabkan gangguan psikologi yang mendalam terhadap Angelina.
Semua catatan itu ditulis Andrew Morton dalam buku biografi pelakon Tomb Raider terbabit yang diterbitkan di Amerika Syarikat minggu lalu. Morton yang amat terkenal dengan catatan kontroversi mengenai biografi Puteri Diana turut mendakwa Mick Jagger pernah mengadakan hubungan dengan Angelina selama dua tahun ketika masih menjadi suami Jerry Hall.
Penulis itu juga menulis Angelina merampas Brad Pitt, suami Jennifer Aniston dengan menggunakan Maddox, anak angkatnya yang berketurunan Kemboja sebagai umpan ketika penggambaran filem Mr And Mrs Smith. Ketika itu, Pitt yang begitu ghairah untuk mempunyai anak tergoda dengan permainan Angelina lalu meninggalkan Jennifer, lapor kenyataan dalam buku itu.
Bagaimanapun, kenyataan mengenai latar belakang keluarga Angelina adalah bahagian paling mengejutkan dalam buku biografi itu. Morton mendakwa perangai liar Angelina dipengaruhi oleh kehidupan keluarganya yang kucar-kacir. Setahun selepas Angelina dilahirkan pada 1975, bapanya dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan aktres, Stacey Pickren.
Menurut kenyataan seorang pengasuh, Krisann Morel hubungan itu menyebabkan Voight berpisah dengan Marcheline yang kemudian melepaskan geramnya terhadap Angelina. Angelina dibesarkan oleh beberapa pengasuh secara silih berganti selama dua tahun. Dia juga diasingkan ibunya kerana terpaksa tinggal di tingkat lima manakala Marcheline pula tinggal di tingkat dua. Marcheline meminggirkan Angelina kerana wajah anaknya itu seiras dengan Voight. Hubungan antara dua beranak itu dilaporkan tidak pernah rapat.
Ketika Angelina menjangkau usia 14 tahun, dia menjalin hubungan dengan seorang remaja lelaki bernama Anton. Atas permintaan Marcheline, Anton diajak tinggal bersama dua beranak itu supaya hubungan mereka dapat dipantau. Marcheline dikatakan berpindah ke bilik yang lebih kecil dan memberikan bilik tidur utama untuk dikongsi kedua-dua remaja berkenaan.
Pada akhir hayat Marcheline, hubungan dua beranak itu dikhabarkan semakin pulih dan dipercayai disebabkan oleh kelahiran anak Angelina. Bagaimanapun, hubungan aktres itu dengan bapanya masih tegang.
Dalam buku biografi tulisan Morton juga ada dipaparkan beberapa gambar Angelina yang pucat dan kurus-kering ketika dia menjadi penagih kokain serta heroin, selain beberapa gambar yang menjolok mata.
Sebelum bertemu Pitt, Angelina dikenali sebagai seorang yang gilakan parti dan sering bertukar pasangan kekasih termasuklah menjadi orang ketiga dalam perhubungan Ethan Hawke dan Uma Thurman. Dia pernah berkahwin dua kali iaitu bersama aktor Johnny Lee Miller dan Billy Bob Thornton. Selepas perceraiannya dengan Thornton, dia dikatakan pernah membuat pemeriksaan kesihatan di Institut neuropsikiatri di Universiti Los Angeles di California (UCLA) selama 72 jam.
Morton turut menulis, Angelina pernah mengupah seorang pembunuh upahan supaya membunuhnya. Bagaimanapun, pembunuh itu tidak yakin dengan kehendak pelakon terbabit dan memintanya memikirkan semula hasratnya. Ternyata Angelina mengubah fikiran sebulan kemudian.
Untuk mengalihkan tumpuan orang ramai daripada penerbitan buku biografi mengenai dirinya, Angelina, baru-baru ini, berlepas ke Korea Selatan bagi menjalankan tugasnya sebagai duta pelarian Pesuruhjaya Tinggi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
sumber...My Metro
0 comments:
Post a Comment