Saturday, November 6, 2010

Pemandu van maut rempuh dua ekor kerbau di Ipoh

IPOH: Seorang lelaki terbunuh selepas van yang dipandunya merempuh dua ekor kerbau yang sedang melintas jalan di Jalan Ipoh-Lumut dekat Falim, awal pagi ini.
Ketua Polis Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Mohd Rodzi Rejab berkata, mangsa yang terbunuh dalam kejadian jam 3.45 pagi itu ialah Kho Hon Leong, 25, berasal dari Canning Garden di sini.

Mangsa yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya di hantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat, katanya ketika di hubungi hari ini.
Rodzi berkata, ketika kejadian, mangsa yang memandu sendirian dalam perjalanan dari Ipoh ke Lumut dikatakan gagal mengawal vannya lalu merempuh dua ekor kerbau yang tiba-tiba melintas jalan.

Akibat kejadian itu, kereta mangsa turut terbabas dan merempuh sebatang pokok di tepi jalan, katanya.

Sebelum itu, tiga lelaki turut mengalami kecederaan selepas kereta yang dinaiki mereka merempuh seekor kerbau yang melintas jalan di Jalan Ipoh-Lumut dekat Tronoh. Bagaimanapun dalam kejadian pada pukul 12.40 tengah malam tadi, ketiga-tiga mangsa hanya cedera ringan, katanya.-- Bernama

0 comments:

Post a Comment